Wednesday, June 23, 2010

V I O S


antara ILUSI dan REALITI
VIOS: jangan terBIUS atau terBIAS
VIOS: kau di'lahirkan' ketika kami sudah berumur,
DBR58.

Monday, June 21, 2010

SELAMAT HARI BAPA




Masa dulu-dulu:ketika itu.


Seorang AYAH menyembunyikan segala jerih payah,


Seorang BAPA tidak khuatir menjadi papa,
(kasih ayah)

(memelihara dan mendidik anak-anaknya)


Kemudian setelah belasan dan puluhan tahun berlalu..


Anak-anak : semakin ayu dan subur,


Bapa : semakin layu dan kendur,


Si anak-anak:semakin rancak di tengah gelanggang kehidupan,


Si bapa: semakin perlahan di pinggir usia.




(taburlah bakti sementara tidurnya abadi)






SELAMAT HARI BAPA


SELAMAT HARI AYAH


SELAMAT HARI ABAH


SELAMAT HARI CHE'






Sunday, May 9, 2010

EYJAFJALLOKULL


Kali pertama bumi ini diciptakan, katanya bumi ini selalu bergoyang dan bergoncang dan tidak berputar dengan stabil dan kadang-kadang lari dari paksinya. Hal ini menjadikan malaikat merasa runsing. Lalu para malaikat mengadap Allah SWT.


Berkata malaikat "Wahai Rabb Yang Maha Mengetahui, mengapakah bumi ini bergoyang?"

Jawab Allah "Kerana belum dipaku"


"Lalu bagaimana Engkau memaku bumi ini .Wahai Rabb?" Tanya malaikat lagi.


"Aku akan menciptakan gunung-gunung." Jawab Allah.


Setelah itu, Allah SWT terus menciptakan gunung-gunung di berbagai -bagai tempat di bumi ini. Apa yang terjadi sememangnya benar. Setelah diciptakan gunung-gunung, bumi pun diam dan kemudian berputar di atas paksinya. Maka gunung pun dikenali sebagai paku atau pasak bumi yang diciptakan Allah SWT.


Kemudian malaikat bertanya lagi. "Ya Allah, adakah yang lebih kuat daripada paku?'.


"Ada! Jawab Allah, ia itu api, dengan kepanasannya dapat melelehkan besi."


"Adakah yang lebih kuat lagi selain api, Ya Rabb?" Tanya malaikat lagi


"Ada ! Ia itu air yang dapat memadamkan api." Jawab Allah lagi.


"Jadi Ya Rabb, adakah yang lebih kuat lagi selain air?" Sambung malaikat.


"Ada! Ia itu angin, kerananya dia dapat membawa air ke mana pun ia menghembus." Jawab Allah lagi.


"Tapi Ya Rabb, adakah lagi yang lebih kuat dari semua itu? (gunung,api, air, angin)?" Malaikat bertanya lagi.

"Ada! Ia itu nafas hamba Ku yang berdoa kepada Ku. Kerana sesungguhnya DOA itu mampu mengubah takdir Ku" . Demikian Allah SWT menjelaskan. (hadis kudsi) RENUNGILAH! fenomena alam akhir-akhir ini..


Thursday, April 8, 2010

Monday, March 8, 2010

PAK NGAH SOH

Wajah tua ini sememangnya amat tua. Tanda ketuaannya jelas pada bintik-bintik hitam yang timbul semakin membesar. Beliau melalui zaman yang panjang dengan pengalaman -pengalaman yang berwarna-warni. Semasa kami kecil -seingat kami,beliau telah tua pun ketika itu. Bila kami meningkat remaja, selalu menceritakan pengalamannya yang indah dan pahit, merentasi masa-masa hidupnya. Umurnya sekitar 120 tahun. Beliaulah sebagai juara kurniaan Ilahi mencapai puncak tahap umur itu . uniknya, lebih 120 tahun beliau tak pernah masuk wad mana-mana hospital...



Pagi ini setelah cukup 3 malam bacaan Yasin dialunkan oleh jemaah qariah, sesudah Subuh pagi Isnin beliau pun berangkat ke kampung abadi. Semoga amalan-amalan baiknya menjadi teman di perkampungan sana.

Sunday, March 7, 2010

ANTARA PILU NABI S.A.W







Alhamdulillah, Allah telah menguji aku dengan sedikit sakit dan demam yang panjang dalam bulan Rabiul Awal tahun ini. Aku melalui hari- hari yang sukar - berminggu-minggu.Perut meragam dan berdenyut dengan rasa sakit dan panas memijar. Selera makan dan minum seakan-akan lari dan meliar ,menjauh diri dari ku. Menjadi tak ada arah nak rasa dan rasa tak ada arah. Pucat dan lesi, serah dan kurus, bagai pohon stan di musim luruh. Rabb ! luruhlah dosa-dosa ku dengan cubaan ini sebagaimana yang ku lihat luruhnya daun-daun tua kuning pada pohon stan di hadapan rumah ku.
...............................................................................@@@@@@@@@@....................................
Beransur sihat, terima kasih Rabb, Sakit dan sembuh adalah urusan Kau, Tuhan Ar Rahman, Ar-Rahim, Al Muhyi , Al Mumit. Masih dalam bulan Rabiul Awal,bulan Nabi dilahirkan. Menatap buku yang diberi oleh anak-Putera Lembah Bakkah. Terserap rasa pilu, pilunya Nabi ketika itu.......saat-saat menjadi piatu , di tengah perjalanan di saujana padang pasir yang panas membahang, kosong dan gersang,

{..........................Tetapi sakit Aminah tidak juga berkurangan. Banyak kali Ummu Aiman menahan sebak melihat kesetiaan anak majikannya. Tidak pernah meninggalkan ibunya yang terbaring kelesuan. Mengusap-ngusap tangan ibu, mengajak ibu berbicara . Membelai-belai manja wajah ibu, meminta ibu melukiskan senyumannya. Apabila ibu terlena, ditatap sepuas-puasnya wajah ibu. Seolah-olah mahu merakamkan setiap inci raut wajah ibu . Apabila ibu terjaga, dia merenung jauh ke dalam mata ibu yang semakin layu. mencari anak mata yang semakin pudar sinarnya . dan semakin hari semakin jarang pula terbuka. Oh ! pilunya hati melihat ibu begini ! Tuhan....bagaimanakah kesudahan nasib ibu? kembalikanlah kesihatannya. Aku mahu pulang bersama ibu, mahu berbual-bual dengan ibu dan bergurau mesra seperti selalu. Oh !Tuhan......


"Muhammad......" Aminah membuka suara, pada suatu hari yang teduh. Sambil cuba juga membuka senyumannya. tetapi sebentar saja.

"Ya, ibu, Muhammad di sini."

Aminah cuba lagi untuk memberikan senyuman. gayanya seperti ada sesuatu yang hendak diberitahu, tetapi tidak terucap. Mengah dengan nafas yang terputus-putus. Akhirnya sekadar memanjangkan sedikit senyum pudarnya sebelum memejamkan mata dengan lambat sekali. tangannya yang menggenggam beransur-ansur merenggang.

"Ibu....."

Tiada jawapan. Tangan ibu tidak lagi menggenggam . Hanya hangatnya masih terasa . Ummu Aiman tidak dapat menahan sebak.

Akhirnya dia tunduk saja mendengar anak kecil di hadapannya yang berkali-kali memanggil ibu. Masih juga tidak berdaya melakukan apa-apa melihat anak kecil itu memeluk kemas ibunya yang terbujur kaku.

"Ibuuuuuu!!!"
"Ibuuuuuuuuu!!!!!!"








"Semoga Tuhan menyemerbakkan dan mewangikan pusara Baginda, dengan wangi-wangian aneka puspa, berupa doa restu serta selawat kepadanya."

Monday, February 8, 2010

POHON STAN DAN KEHIDUPAN



Di kampung kami banyak terdapat pohon-pohon stan. Di sekitar rumah ku terdapat beberapa pohon stan yang telah berumur lebih separuh abad, lebih tua dari kami.

Pohon stan ini menjadi objek ku dalam pemerhatian perjalanan kehidupan dan fenomena alam. Bagiku pohon stan ini antara makhluk yang unik ciptaan Allah . Setiap tahun, dia menjalani kitaran kehidupannya yang tersendiri.

Pada awal tahun , biasanya dalam bulan Januari atau Februari-merupakan musim meluruh. Ketika ini kemarau menerjah alam. Panas dan rimas. Daun yang lebat beransur-ansur berubah warna tua-kekuningan dan mula merenggeh, melayah turun meninggalkan ranting dan dahan kediamannya. Bagaikan jemputan malaikat maut , melayah menuju tanah, kering dan garing. Namun masih menjadi baja kehidupan diri dan rakan sekitar.

Di saat-saat begini, yang tinggal adalah ranting-ranting, dahan dan batang tanpa daun, kurus dan kelihatan 'serah' tubuhnya lantaran tidak cukup makanan dan minuman yang dapat memberi tenaga . Bagai menanti sebuah kematian, sepi dan sunyi, sesekali kelihatan gelisah dan cemas. Yang tinggal adalah denyutan nadi akar dan saluran-saluran pembuluh yang masih dapat mengalirkan sedikit air musim rontok walaupun tidak selancar biasa. Sedutan monoksida dan hembusan oksijan terhenti seketika. Seakan luruhlah sebahagian dari dosa-dosa yang terkumpul atas kesabarannya menempuh saat-saat yang payah. Pada saat-saat genting ini apa yang dapat dilakukan adalah kesabaran dan doa dan tasbih, dan zikir dan tahmid kepada pencipta semoga dikembalikan kesegaran dan kesihatan.

Sesekali kesepian dan kesakitannya terhibur bila burung-burung pagi meriuh rendahkan suasana sambil bertenggek di dahan dan ranting yang renggeh itu. Pancaran lembut matahari waktu Dhuha , hembusan semilir pagi dan seruan sahabat sekitar dari pucuk-pucuk yang menghijau itu dapat meniupkan semangat kesegarannya.


......dan setiap malam dia tidak putus-putus memanjat doa dan bermunajat kepada Pencipta nya agar diberi kekuatan untuk mengharungi cabaran alam. dari ribut, dari matahari dan dari hujan.